BUKIT MERTAJAM: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki membaling cat merah di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Machang Bubok, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Helmi Aris berkata, berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku kira-kira 3.03 pagi Khamis membabitkan sebuah kedai yang belum beroperasi.

"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV ) mendapati, kejadian berlaku jam 3.30 pagi, kelihatan tiga lelaki menaiki dua buah motosikal, mereka bertindak membaling cat merah ke kedai dua tingkat  yang mula beroperasi pada Sabtu sebelum melarikan diri.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut dan setakat ini punca insiden itu masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Dalam pada itu, Helmi turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu agar tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Ibupejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu tular di media sosial berdurasi 63 saat memaparkan tiga lelaki yang memakai topi keledar menaiki dua buah motosikal membaling cat merah ke sebuah kedai nasi kandar .

Cat merah tersebut terkena papan tanda dan pintu hadapan restoran sebelum ketiga-tiga suspek melarikan diri.